Harap Sudilah Follow

Sila Klick tanda sokongan kepada blog ini..




PENAJA UTAMA

November 7, 2010

Home » » K-Ekonomi dari Sudut Pandangan Islam

K-Ekonomi dari Sudut Pandangan Islam



Apabila kerajaan mengumumkan hala tuju baru ekonomi negara berasaskan ilmu pengetahuan atau k-ekonomi, sekali gus Malaysia adalah negara Islam pertama memartabatkan ilmu pengetahuan sebagai satu daripada pendekatan untuk memajukan bangsa, agama dan negara. 

Kita percaya, sebagai negara membangun, Malaysia perlu mengukuhkan kedudukan dengan satu pendekatan yang baru. Kita melihat perkembangan ilmu pengetahuan kini sudah memasuki era dan nilai paling tinggi. Ilmu pengetahuan bukan sekadar faham membaca atau menulis tetapi martabatnya sudah mencukupi seluruh kegiatan hidup dan simpang-siur bermasyarakat dan bernegara. Dalam perhubungan antara bangsa, ilmu pegetahuan menduduki barisan depan sekali berbanding bidang lain. Malah, segala kegiatan hidup diikat dan dipantau oleh ketinggian ilmu. Semakin tinggi ilmu seseorang atau masyarakat itu, semakin mereka dihormati. 

Berdasarkan realiti inilah, k-ekonomi diletakkan sebagai mercu tanda peralihan penjanaan ekonomi negara. Menerusi k-ekonomi, Malaysia boleh meneroka pelbagai bidang ekonomi canggih dan berdaya maju. Ini penting dalam usaha pembentukan semula negara maju. Jika beberapa tahun selepas merdeka, ekonomi negara berasaskan pertanian, tetapi selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970, walaupun pertanian masih menjadi teras kekuatan ekonomi, namun peralihan mula ketara. Kedaan lebih ketara lagi apabila Rancangan Jangka Panjang Ekonomi (RJP) diperkenalkan pada awal 80-an. RJP memberi penekanan yang lebih sedikit kepada perindustrian. Sebenernya di sinilah bermulannya pendekatan k-ekonomi di negara ini. 

Peralihan ini sedikit sebanyak mengajar rakyat mematangkan diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Antara cabaran itu ialah usaha memertabatkan ilmu sebagai penggerak ekonomi. Langkah ini memerlukan tindakan berani dan perancangan yang cukup teliti. Malah, dalam waktu tertentu ia menuntuk perombakan besar dalam cara berfikir dan bertindak. Ini membabitkan rombakan sektor budaya, politik, kemasyarakatan, pendidikan, agama dan sebagainya. 

Masyarakat yang berfikiran negatif melihat k-ekonomi sebagai memperkaya golongan tertentu dan menjerat yang lain. Tetapi, bagi masyarakat berfikiran positif dan terbuka, pendekatan ini diterima sebagai sesuatu yang bermanafaat. Kepada umat Islam di negara ini, k-ekonomi secara automatik mengangkat martabat agama. Seperti yang diketahui umum, agama Islam adalah agama yang progresif dan agama kemajuan. Dalam beberapa hal, Islam membenci kebodohan dan mencela sifat malas. 

Wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w jelas mengajak umat Islam meneroka ilmu pengetahuan. Perintah membaca pada awal wahyu adalah menifestasi kepentingan ilmu pengetahuan kepada umat Islam. (Rujuk surah al-Alaq, ayat 1-5). Wahyu ini mengandungi perintah dan petunjuk arah untuk penerokaan lautan ilmu yang luas seperti yang diajarkan asasnya kepada nenenda manusia, Nabi Adam. (Lihat surah al-Baqarah ayat 31). 

Dalam perintah membaca itu terkandung rahsia besar ilmu. Antaranya ilmu ketuhanan, kajihayat, akhlak dan kemuliaan, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, politik dan pelbagai lagi. Dan jika kita hubungkaitkan dengan ayat 31 Surah al-Baqarah, jelaslah wahyu pertama itu meletakkan asas semua ilmu pada permulaan ciptaan manusia. Asas ilmu yang diamanahkan kepada Nabi Adam itu adalah medium penting pengangkatan baginda sebagai khalifah di bumi. 

Untuk lebih jelas lagi, selain mengajar Nabi Adam, Allah juga membimbing dan mengajar Nabi Yusuf asas ekonomi dan pentadbiran negara. Nabi Yusuf memperkenalkan pertanian berhemat dan berjaya mempertahankan ekonomi Mesir (lihat surah al-Yusuf ayat 46-48). Begitu juga Allah mengajar Nabi Sulaiman mengenai ketinggian martabat ilmu dan mereka yang berilmu. Nabi Sulaiman juga diajar betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan orang berilmu itu sebagai aset penting kepada negara (lihat surah an-Namlu ayat 40). Dalam ayat ini dijelaskan bagaimana ketika Nabi Sulaiman berdepan dengan masalah untuk memindahkan istana Balqis di Yaman ke Baitulmaqdis. Nabi Sulaiman mahu pemindahan itu dibuat secara menyeluruh tanpa merombak struktur asal atau memecahkan istana itu. 

Dalam kisah ini, dinyatakan jin dan afrid yang terkenal kuat dan garang berjanji akan membawa istana itu ke hadapan Nabi Sulaiman dalam tempoh beberapa hari saja. Tetapi ahli-ahli ilmu pengetahuan ketika itu memberi jaminan mereka boleh membawa istana itu dengan sekelip mata. Akhirnya ahli ilmu pengetahuan berjaya dan sekali gus memartabatkan ilmu dan manusia sebagai penguasa. 



Begitu juga Allah mengajarkan kepada nabi-nabi yang lain mengenai urusan perniagaan, antaranya Nabi Salleh dan Nabi Syuib. Ilmu pembinaan pula diajar kepada Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, ilmu pertukangan besi diajarkan iepada Nabi Daud. Selain yang dijelaskan, banyak lagi ayat al-Quran menyebut kepentiangan ilmu sebagai pemangkin ekonomi. 

Begitu juga dalam bidang ekonomi berasaskan ilmu. Dalam surah az-Zumar, ayat ke-9, misalnya, Allah berfirman, maksudnya: "Adakah sama orang pengetahuan dengan yang bodoh. Sesungguhnya yang mendapat pelajaran itu hanya mereka yang mempunyai fikiran." 

Di sini jelas membuktikan Islam mengangkat ilmu pengetahuan sebagai pemisah antara manusia dengan haiwan. Allah Yang Maha Agung dan Maha Mencipta cukup memahami penciptaannya dan Tuah sendiri mengakui manusia adalah sebaik-baik ciptaan Nya. (Surah at-Tiin, ayat 4). 

Sebagai ciptaan terbaik, Allah memperlengkap manusia dengan naluri intelektual yang tinggi. Manusia diajar berfikir dan menggunakan fikiran secara meluas. Selain itu manusia dibekalkan dengan naluri ingin tahu dan ingin maju. Naluri berusaha dan meneroka sesuatu yang baru. Naluri ingin tahu itulah anak kunci kepada mercu ilmu pengetahuan. 

Allah juga membenarkan manusia meneroka seluruh alam dan memanfaatkan isinya. Allah amanahkan seluruh bumi dan langit ini untuk ditadbir oleh manusia (rujuk Surah al-Baqarah, ayat 29). Malah, dengan kekuatan yang ada (rujuk Surah ar-Rahman, ayat 33), memanafaatkan laut, bumi dan segala isinya, malah manusia itu sekali gus adalah menjadi matlamat terakhir segala sesuatu yang diciptakan di muka bumi. 

Sebagai umat Islam kita patut rasa bertuah dikurniakan kelebihan yang tinggi. Ini kerana Muhammad sebagai Nabi dan Rasul terakhir berjaya merobohkan belenggu kekunoan berfikir atau pak turut zaman kepada suasana baru yang merancakkan intelektual kekhalifahan, membebaskan manusia daripada kejumudan dan tamadun yang tidak berasaskan ilmu dan iman (rujuk Surah al-A`raf, ayat 157). 

Lebih jelas lagi wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah untuk mengajak manusia membaca. Menurut psikologi pendidikan, mambaca itu adalah anak kunci pembukaan pintu-pintu ilmu yang berlapis-lapis itu. Al-Quran sebagai kitab suci terakhir dan penutup segala kitab suci mengandungi pelbagai cabang ilmu. Tidak berlebihan dijelaskan di sini, hanya al-Quran satu-satunya kitab yang melakarkan sama ada secara singkat atau terperinci mengenai pentadbiran alam dan seluruh isinnya. Ia memberikan kebebasan kepada manusia untuk memanafaatkannya. Terpulanglah kepada manusia, khususnya umat Islam untuk menangguk nikmat dan rahmat Allah itu. 

Sebagai umat terbaik (khairul ummah), masyarakat Islam, khususnya di negara ini perlu memperkukuh statusnya dengan menguasai pelbagai ilmu, khususnya bidang ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan. Ini perlu, jika peluang itu dibiarkan berlalu begitu saja, status khairul ummah itu akan terhakis dan bertukar menjadi ummah yang buruk (suul ummah). 

Memang benar, pada permulaan kemajuan Islam dulu, k-ekonomi tidak pernah ditimbulkan. Tetapi itu tidak berti k-ekonomi dianggap sebagai bidaah. Sejarah mencatatkan ketika Islam begiatu berjaya, ahli fikir ketika itu belum dapat lagi memikirkan bentuk ekonomi baru dan ilmu ekonomi. Ketika perkembangan pesat Islam, ada kira-kira empat bidang yang memang termasyhur. 

Pertama, ilmu bahasa Arah, kedua ilmu syariat, ketiga ilmu sejarah dan keempat ilmu falsafah. Memang tidak disebut langsung bidang ekonomi. Tetapi ulama kemudiannya, teutama selepas Khalifah Makmum dan Umaiyah, mula memperluaskan bidang ekonomi. Perniagaan bertukar-tukar barang antara kabilah, negara, dan puak misalnya adalah asas ekonomi mereka. Kekuatan politik dan akidah umat Islam pada permulaan dan pertengahan menjadikan Islam menjadi contoh terbaik kepada dunia. Perluasan wilayah yang berjalan hampir 400 tahun memperkaya ilmu Islam. Umat Islam belajar mematangkan diri melalui perhubungan antarabangsa. 

Kemajuan politik dan ekonomi yang dicapai kerajaan Islam yang lalu itu adalah manifestasi kegiatan k-ekonomi. 

Begitu juga dalam zaman moden ini. Jika pada abad ke-19 dan ke-20 manusia melakar asas kemajuan - daripada pertanian ortodoks kepada perindustrian berasaskan teknologi, penerokaan angkasa lepas dan sebagainya - pada abad ke-21 dan alaf baru ini, manusia mencipta sesuatu yang lebih tinggi nilai dan manfaatnya. Paling terbaru adalah bidang teknologi maklumat (IT). Teknologi ini bnerjaya merobohkan sempadan dunia (lihat Borderless World - Kenichi Ohmae) dan membentuk globalisasi (lihat Peter Drucker - Capitalist Society). IT boleh dikatakan sebagai kejayaan paling besar pernah dicapai manusia. 

Teknologi ini membentuk generasi baru yang mapan ilmu dan mantap tindakan. Jika dulu telefon menggegar dunia, kini mikrocip menggantikan tempatnya. Menerusi mikrocip manusia boleh mengadakan persidangan antarabangsa menerusi video dan laman web. Transaksi perdagangan boleh dilakukan dengan hanya memetik butang di papan kekunci komputer yang menjadi medium untuk memenuhi sesuatu yang diidamkan. Pendeknya, kini tiada lagi yang mustahil di dunia. 

Paling penting ialah semua teknologi itu diterima oleh Islam, asalkan tidak bercanggah dengan akidah. Ini kerana Islam menggalak dan menghargai penggunaan sebarang alat untuk meningkatkan martabat ummah. Misalnya, jika pada abad ke-19 perhubungan antara negara dijalankan secara kenderaan haiwan atau berjalan kaki, tetapi pada abad ke-20 perhubungan antarabangsa dipermudah dengan penciptaan kapal terbang. Malah, umat Islam yang menunaikan haji tidak lagi memerlukan tempoh perjalanan selama bertahun atau berbulan. Perhubungan menerusi udara mempercepat proses itu. 

Selepas merenungi segala kejayaan ilmu itu kita merasakan umat Islam tidak harus meminggirkan diri. Berdasarkan inilah Dr Mahathir meletakkan asas hala tuju ekonomi negara kepada k-ekonomi. Sebagai sebuah negara yang maju, Malaysia tidak boleh meminggirkan diri atau memorokkan fikiran dibawah tempurung kekolotan. Sebagai bukti, Islam menggalakkan ijtihad. Malah, Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud `umatku yang terbaik adalah yang berilmu`. Sebagai umat yang beragama Islam, masyarakat Islam di negara ini tidak boleh memandang sepi keistimewaan IT. 

Jika ada pun persoalan ialah bagaimanakah k-ekonomi itu dilaksanakan. Tetapi ini adalah masalah teknikal saja. Masalah ini boleh diselesaikan dengan perancangan yang rapi. Dengan itu petani di sawah tidak lagi tertanya-tanya bagaimana mereka boleh mengangkat martabat daripada bergelumang lumpur kepada berbaju bersih dan bertali leher. Peneroka getah yang selama ini kebingungan dan tercari-cari resipi yang boleh mengelakkan mereka terlekat kara dapat memanafaat k-ekonomi dengan mudah. 

Begitu juga penternak. Mereka juga ingin mengelak bau hanyir najis haiwan. Begitu juga peniaga kecil dan sederhana, mereka ingin melepaskan diri daripada jerat hutang yang tinggi. 

Semua ini mungkin terjelas dengan sendirinya, jika merkanisme k-ekonomi itu digarap sepenuhnya oleh masyarakat Islam. Malah, tidak salah jika kita meminjam pendapat Alan Bloom yang bermaksud: "Kebodohan paling ketara pada generasi yang lepas adalah kerana mereka terikat dengan petua-petua yang nyanyuk." (Lihat ‘The Closing American Mind’). Kerana itu, untuk mendakap seerat mungkin k-ekonomi dan memanafaatkannya untuk kemajuan ummah, masyarakat Islam di negara ini perlu mengangkat cara berfikir. 

Mereka tidak harus membiarkan diri terperok akibat kekangan dan terperangkap budaya lama yang tidak lagi sesuai sekarang. Misalnya, pertanian milik individu disatukan dengan rakan kongsi yang lebih besar mungkin lebih bermanfaat. Begitu juga ternakan dan sebagainya. Masyarakat Islam mesti mengangkat batinnya keluar daripada kejumudan budaya yang tidak munasabah. Dalam hal ini tidak bererti kita mesti melahap segala ilmu teknologi yang dihidangkan kepada kita. 

Tetapi sebagai umat yang berasaskan ilmu kita sendiri perlu menangkis dan pantas menepis mana yang buruk dan memilih yang baik untuk kemanafaatan ummah. K-ekonomi adalah pendekatan bijak untuk kemajuan ekonomi ummah. Ia akan menarik keluar umat daripada ketertutupan budaya lama kepada kemakmuran budaya baru. 

Orang bijak bestari pernah berkata: "Kegagalan dan kebodohan adalah musuh kemajuan." Dan Islam benci kepada kegagalan dan kebodohan. Sebagai penganut agama yang maju, umat Islam tidak harus berfikir ke belakang, sebaliknya mengambil langkah tgerkehadapan untuk meneroka sesuatu yang baru seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad, semua sahabat baginda, malah tabiin juga. Antara mereka Usman Ibnu Affan dan khalifah yang terkemudian. Antara tabiin ialah al-Biruni, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama). 

Mereka mengharumkan Islam. Dan kini kita sebagai pewaris umat berfungsi besar menaikkan semula martabat Islam. Cara yang difikirkan sesuai ialah menerusi k-ekonomi. 


Artikel ini dari sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

No comments:

Post a Comment

Sila Klick tanda penghargaan daripada blog ini..