Harap Sudilah Follow

Sila Klick tanda sokongan kepada blog ini..




PENAJA UTAMA

November 27, 2010

Home » PENGERTIAN JIHAD DARI KACA MATA ISLAM...

PENGERTIAN JIHAD DARI KACA MATA ISLAM...

PERKATAAN Jihad yang disebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah tidak boleh diterjemahkan dengan perkataan Holy war (Perang Suci) semata-mata seperti yang seringkali difahami oleh Barat terhadap Islam lalu mereka menafsirkan secara ganas terhadap Islam dengan menuduh Islam sebagai ganas dan umat Islam sebagai pengganas.

Islam adalah agama Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam termasuk hukumnya yang dianggap keras tetapi mengandungi cara dan hikmah yang membawa rahmat.

Perkataan Jihad adalah daripada bahasa Arab yang menjadi bahasa al-Quran dan menjadi bahasa Nabi Muhammad saw. Asal maknanya dari segi bahasa ialah Masyaqqah yakni kesukaran. Adapun maknanya menurut istilah syarak ialah, mengerahkan segala usaha dan tenaga bagi menghadapi orang yang menentang agama Allah (Kuffar), dan dimasukkan juga menetang hawa nafsu, syaitan juga fasik.

Menghadapi penentang agama Allah itu dengan jiwa raga, harta, fikiran, lidah dan hati. Menentang hawa nafsu itu ialah bersungguh-sungguh menuntut ilmu agama, beramal dengannya dan mengajarnya kepada orang lain. Menentang syaitan ialah menolak perkara yang syubhat (tidak jelas halal dan haramnya) dan kecenderungan hawa nafsu kepada kemungkaran kerana dihiasi oleh syaitan. Menentang fasik ialah dengan tangan, lidah dan hati.

Jihad mempunyai takrif yang luas merangkumi segala aspek nikmat kurniaan Allah yang disumbangkan untuk menegakkan agama Allah yang menyeluruh dalam diri manusia secara individu, masyarakat dan negara. Nikmat Allah itu sama ada jasad dan ruh, harta dan tenaga. Agama Allah ialah Dinul Islam yang sempurna merangkumi segala aspek yang diajar dan dilaksanakan oleh Rasulullah saw yang menerimanya daripada Allah. Bermula daripada Iman dan pengakuannyadengan Iqrar Syahadah dan menghayatinya dalam diri masing-masing, keluarga, masyarakat dalam segala aspeknya. Islam itu ditegakkan sehingga mengatasi segala ajaran yang lain di semua peringkat. Bermula daripada membentuk peribadi muslim yang hatinya diperintah oleh Islam dan hati pula mengarahkan seluruh fikiran dan anggota jasad supaya beramal dengan Islam, seterusnya melaksanakan dakwah, amal makruf dan nahi mungkar dengan kesanggupan menghadapi segala cabaran mental dan fizikal. Jihad merangkumi penggunaan fikiran, tenaga, harta sehinggalah senjata mengikut keadaan dan cara penentangan dan cabaran yang dihadapi.

Jihad berlaku dalam diri sendiri untuk menentang hawa nafsu, kejahilan dan segala sifat yang buruk untuk membentuk diri dengan iman dan Islam. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan kami, sesungguhnya kami akan tunjukkan kepadanya jalan-jalan kami dan sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang melakukan kebaikan.

al-Ankabut: 69

Jihad juga berlaku di dalam keluarga, Rasulullah saw tidak mengizinkan seorang sahabat yang mahu mengikutnya berperang kerana ibubapanya memerlukan jagaannya, apabila Rasulullah saw bersabda kepadanya yang bermaksud:

Kepada kedua orang tuamu hendaklah kamu berjihad.

Jihad juga berlaku kerana menentang kemungkaran dalam masyarakat Islam sendiri. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Tiadalah seseorang nabi yang diutuskan oleh Allah sebelumku, melainkan ada di sampingnya pengikut yang setia (Hawariyyun) dan para sahabat yang mengambil ajarannya dan mematuhi perintahnya, kemudian (setelah nabi wafat) berlaku penyelewengan di kalangan mereka, ada orang-orang yang bercakap mengenai agama apa yang tidak diamalkan dan beramal dengan apa yang tidak diperintah oleh agama. Maka barangsiapa yang berjihad menentang dengan tanganya dia beriman, yang berjihad dengan lidahnya dia beriman dan yang berjihad dengan hatinya dia beriman dan tiada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji yang halus.

Berjihad dengan tangan itu ditafsirkan juga dengan kuasa pemerintahan, kekeluargaan dan sebagainya. Berjihad dengan lidah ialah memberi nasihat dengan lisan dan tulisan. Benci dalam hati untuk orang yang tidak berkemampuan atau terlalu lemah imannya juga dikira Jihad.

Berjihad paling afdal ialah menasihati kerajaan yang zalim termasuk kerajaan Islam kerana sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Jihad paling afdal ialah mengatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim.

Jihad juga berlaku kerana menentang orang-orang bukan Islam yang menentang Islam atau menghinanya dengan hujjah atau menghalang dakwah, menzalimi penganut Islam dengan kekerasan sama ada di dalam tanah air sendiri atau di negara asing, atau menceroboh tanah air umat Islam atau kezaliman terhadap orang-orang yang bukan Islam seperti pencabulan terhadap hak kemanusiaan.

Setiap Jihad mempunyai cara hukum, akhlak yang mulia yang mempunyai perhitungan dosa dan pahala, firman Allah swt yang bermaksud:

Serulah kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan berhujjah dengan cara yang paling baik dan berhujjahlah dengan lebih kebaikan.

al-Nahl: 125

Hikmah itu ialah dengan menggunakan pendekatan yang paling sesuai dengan sasaran dakwah, latarbelakangnya dan bentuk cabaran yang dihadapi. Hikmah juga memilih cara yang terbaik di kalangan yang baik-baik, jangan mengambil yang kurang baik walaupun secara realitinya adalah baik.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan perangilah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas

al-Baqarah: 190

Hukum dan peraturan yang berkaitan dengan Jihad

HUKUM Jihad adalah wajib, secara fardhu kifayah dalam keadaan biasa; yakni sekiranya ada sebahagian daripada umat, atau masyarakat Islam atau dalam negara Islam yang menunaikannya maka bermakna Jihad telah ditunaikan, maka orang yang tidak menyertainya terlepas daripada dosa. Kadang-kadang dalam keadaan tertentu menjadikan hukum Jihad itu fardhu ain, yakni; wajib ke atas individu muslim apabila Islam, umat dan tanah airnya dalam bahaya, musuhnya sudah di perbatasan tanah air Islam atau sudah mencerobohinya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Jihad itu berterusan sehingga ke hari Qiamat.

Sayyidina Abu Bakar ra Khalifah pertama menegaskan:

Tiadalah sesuatu kaum yang meninggalkan Jihad melainkan Allah menurunkan bala yang menyeluruh ke atas mereka.

Islam memperuntukkan hukum-hukum yang berkaitan dengan Jihad, seperti syarat, rukun dan adab yang wajib ditunaikan. Bermula daripada pelaksanaan mengikut maknanya yang luas dan mengikut keperluan dan keutamaan, maka Jihad tidak boleh terkeluar daripada takrifnya yang merangkumi Jihad di dalam diri masing-masing; iaitu menentang hawa nafsu dan was-was iaitu syaitan yang menjadi penghalang Jihad atau yang mendorong tindakan Jihad yang melampaui batas. Cara pelaksanaan yang tepat mengikut keadaan, iaitu dengan lidah, tulisan sehinggalah menggunakan senjata apabila terpaksa.

Jihad mestilah dengan hati ikhlas, jangan memaksa orang lain supaya menganut Islam, jangan melampaui batas bila bercakap dan bila berhujjah, seperti menghina peribadi, keluarga dan kaum, menggunakan bahasa yang halus dan difahami. Walaupun terpaksa berperang namun tetap diharamkan melampaui batas, seperti bertindak kejam melampaui had. Umpamanya menyincang orang yang sudah terbunuh, membunuh orang yang tidak terlibat dengan peperangan, seperti paderi-paderi, sami-sami, kaum wanita, kanak-kanak, orang tua, orang yang uzur, juga mereka yang tidak terlibat dengan peperangan, seperti peniaga, petani, nelayan, tanaman, binatang ternakan dan sebagainya, walaupun dalam peperangan. Oleh itu, Islam mengharamkan penggunaan senjata atom, nuklear, menyerang kawasan awam, hospital, pasar dan sebagainyayang tidak menjadi tempat ketenteraan dan menghalang operasi ketenteraan di kawasan-kawasan berkenaan.

Islam tetap mengutamakan keamanan dan cara damai, maka wajiblah berdakwah, menyedarkan masyarakat, menegur dan memberi peringatan secara aman dalam negara demokrasi, walaupun ada kelemahannya seperti peraturan dan undang-undang yang tidak munasabah lagi zalim. Pejuang Islam hendaklah menghadapinya dengan sabar dan bijaksana. Inilah Sunnah Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul as seperti yang ditegaskan di atas.

Ada juga mereka yang tidak faham hukum Jihad atau sengaja mengelirukan apabila menafsirkan Jihad itu dengan hanya peperangan bersenjata saja dengan dalil perintah berperang di dalam al-Quran setelah berlakunya Hijrah dan terdirinya negara Islam yang pertama di Madinah. Sebenarnya itu adalah fahaman yang salah terhadap Jihad, kerana Allah swt telah menetapkan di dalam beberapa ayat yang diturunkan di Makkah, menyebut perkataan Jihad, di antaranya ialah firman Allah swt di dalam surah al-Furqan yang diturunkan di Makkah yang bermaksud:

Maka, janganlah kamu mentaati orang-orang kafir dan berjihadlah menghadapi mereka dengan jihad yang besar.

al-Furqan:52

Begitu juga dalam surah lain yang diturunkan di Makkah yang berkaitan dengan Jihad. Di kala itu umat Islam tidak diizinkan berperang, maka Rasulullah saw berjihad secara berdakwah, berpidato, berdailog dan memperdengarkan al-Quran yang terkandung di dalamnya perkara aqidah, kisah benar yang berlaku. Penduduk Makkah dan kabilah Arab yang datang mengunjungi baginda telah menerima Islam dan meninggalkan kesesatan yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Hasil dari perubahan yang berlaku, Rasulullah saw dan para sahabat menghadapi tentangan yang hebat. Baginda dan sahabat menerimanya dengan sabar tanpa melakukan kekerasan dalam menghadapi tentangan tadi.

Artikel ini adalah ulasan yang di buat oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

No comments:

Post a Comment

Sila Klick tanda penghargaan daripada blog ini..