Disiarkan pada Aug 01, 2007 dalam kategori Tamadun | Tiada Komen
Amatlah malang bagi seorang insan yang dibekalkan dengan berbagai bekalan yang maha lengkap dalam perjalanannya, namun dia meninggalkan segala bekalan tersebut. Lantas meraba-raba bekalan ganti yang tidak seberapa. Dia meninggalkan makanan lazat berkhasiat yang dibekalkan, lalu mencari serpihan makanan di tepi-tepi jalan. Dia meninggal bekalan cahaya yang disediakan, lalu berpandu rabaan tongkat dalam kegelapan. Demikianlah hal umat Islam pada hari ini. Bekalan ajaran Islam yang disediakan oleh Allah dan RasulNya begitu indah dan hebat. Namun kita mencampaknya ke tepi. Kita mencari penyelesaian hidup dengan panduan baru. Maka, kita bukan saya tidak cemerlang, bahkan kita sentiasa kelihatan ketinggalan dalam dunia persaingan. Sebabnya, orang lain –sekalipun tanpa panduan wahyu- telah lama berfikir dan menghasilkan berbagai perkara dalam mengharungi tamadun hidup berdasarkan kefahaman mereka. Sedangkan kita, baru hendak bermula.
Jika dilihat kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, dunia Islam sepatutnya mengepalai isu-isu kemanusiaan dan alam. Malangnya, kita bukan sahaja tidak mengepalai, bahkan kita dituduh tidak prihatin dalam beberapa isu dunia. Sebahagian tuduhan itu pula benar.
Ambil sahaja soal penjagaan alam sekitar. Dunia Islam tidak mengepalainya. Lebih memalukan apabila negara-negara umat Islam sendiri tidak mengambil berat soal penjagaan alam sekitar. Bahkan ada negara umat Islam yang begitu kotor. Lebih memalukan jika kawasan masjid dan tandasnya menjijikkan. Sedangkan dalam masa yang sama kita berceramah soal taharah, kebersihan pakaian ketika solat, jenis-jenis air yang boleh diambil wuduk dan berbagai lagi. Bahkan sebahagian perbincangan dalam masalah fekah bersuci kita begitu sempit dan jumud. Sehingga kecenderungan sesetengah tok guru ke arah membatalkan ibadah lebih besar dari menghukumnya sebagai sah. Namun tinggal sekadar berlegar dalam bab wuduk dan sembahyang semata. Tidak mampu membawa kepada kebersihan dan kebajikan alam sekitar.
Dunia Islam sepatutnya menjadi perlambangan kepatuhan kepada amaran Allah dalam Surah al-Rum ayat 41: (maksudnya) Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Kerosakan alam sama ada di lautan atau daratan adalah disebabkan perbuatan manusia. Laut dan sungai yang tercemar, atau hutan yang binasa adalah dek perbuatan insan durhaka. Derita yang bakal dihadapi dunia disebabkan pencemaran alam adalah balasan Allah ke atas jenayah pencemaran tersebut. Umat Islam berpandu ayat ini dan ayat-ayat lain yang banyak sepatutnya mengelapai masyarakat dunia dalam menjuarai perjuangan menjaga alam sekitar.
Sebaliknya, di kalangan kita tidak menganggap perbincangan berhubungan dengan menjaga kebersihan alam dari pencemaran dan kekotoran sebahagian dari tuntutan Islam. Mereka tidak terbayang bahawa itu termasuk dalam dakwah Islam untuk manusia. Mereka tidak merasai bahawa perjuangan memelihara alam termasuk dalam amalan soleh seorang insan. Sedangkan baginda Nabi s.a.w menyebut: “Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah akan rendahkan kepalanya di dalam neraka” (riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Amaran dan doa Nabi s.a.w. agar Allah mengambil tindakan kepada pemotong atau penebang pokok bidara kerana kerimbunan pokok tersebut menjadi tempat berteduh manusia dan haiwan. Maka perbuatan memusnahkannya tanpa sebab adalah suatu pengkhianatan terhadap manusia dan haiwan. Maka hukumannya adalah neraka. Al-Imam Abu Daud dalam kitab sunannya apabila ditanya mengenai maksud hadis ini menyatakan: “hadis ini diriwayatkan secara ringkas. Maksudnya sesiapa yang memotong pokok bidara di tanah lapang tanpa sebarang sebab dan sia-sia, sedangkan ia menjadi tempat berteduh orang bernusafir dan haiwan, maka Allah rendahkan kepalanya dalam neraka”. (Abu Daud, Sunan Abi Daud 4/361, Beirut: Dar al-Fikr).
Demikian Nabi s.a.w memperjuangkan agar tidak dimusnahkan alam tanpa sebab yang sah. Bukan sekadarnya kesalahan moral pada penilaian kesusilaan manusia, bahkan baginda memberi amaran dengan hukuman Allah pada hari akhirat nanti. Jika hanya memotong pokok bidara yang membawa kemusnahan tempat berteduh manusia dan haiwan dihukum dosa dengan balasan demikian rupa, apatah lagi bagi yang memusnah ekosistem alam yang boleh membawa kemusnahan yang lebih besar. Bahkan mungkin memusnahkan manusia sejagat. Maka mencemarkan alam pada penilaian Islam adalah satu kesalahan dari segi agama. Justeru, perjuangan memelihara alam adalah sebahagian dari perjuangan agama. Menyuruh manusia memelihara alam dan melarang mereka memusnahkannya adalah sebahagian dari kerja dakwah iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran.
Bahkan penjagaan alam dianggap sebagai satu sedekah berpahala di sisi Islam. Daripada Anas bin Malik r.a.: Katanya: Sabda RasululLah s.a.w: Tidak ada seorang muslim yang menanam tanaman atau menyemai semaian lalu burung, atau insan atau binatang berkaki empat memakannya, melainkan untuknya (pahala) sedakah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para sahabah Nabi s.a.w memahami dan mempraktikkan hal ini. Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang bertemu sahabat Nabi s.a.w yang masyhur iaitu Abu Darda’ ketika itu dia sedang menanam pohon. Kemudian orang laki-laki itu bertanya kepada Abu Darda’: Hai Abu Darda’! Mengapa engkau tanam pohon ini, padahal engkau sudah sangat tua, sedang pohon ini tidak akan berbuah kecuali sekian tahun lamanya. Maka Abu Darda’ menjawab: Bukankah aku yang akan memetik pahalanya di kala orang lain memakannya?
Di mana perginya hadis-hadis yang seperti ini? Ramai umat Islam, sehingga golongan agama sekalipun gagal melihat kemuliaan usaha dan perjuangan memelihara alam sekitar. Padahal pada alam itulah tercatatnya tanda-tanda keagungan Allah dan rahmahNya kepada manusia. Ayat-ayat al-Quran begitu banyak dalam hal ini. Namun kita tidak mengambil iktibar. Antara firman Allah dalam Surah al-Fatir ayat 27-28: (maksudnya) Tidakkah Engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Ayat di atas menyatakan bahawa pemerhatian terhadap keindahan alam ciptaan Tuhan membawa kepada rasa takutkan disebabkan ilmu pengetahuan tentang kebesaran Tuhan. Banyak ayat-ayat al-Quran sepatutnya menjadi motivasi untuk masyarakat muslim menjadi masyarakat yang terbaik dalam pemeliharaan alam ciptaan Allah ini. Saya begitu kagum apabila melawat New Zealand dan melihat keindahan alamnya. Apa yang lebih mengkagumkan bagaimana disiplin masyarakatnya memelihara keindahan alam mereka. Mengapa tidak hal ini berlaku di dunia Islam secara menyeluruh?!
Ustaz-ustaz selalu menyebut tentang dosa menyakiti hati jiran. Lalu mereka kaitkan dengan mengumpat atau mengutuk jiran tetangga. Sepatutnya perbahasan itu mesti diluaskan lagi di zaman kini. Membuang sampah dan kotoran merata-rata juga termasuk dalam dosa. Ia disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya; perbuatan tersebut telah melanggar arahan pemerintah dalam perkara kebaikan yang disuruh Islam untuk kita taat. Sabda Nabi s.a.w.: “Ketaatan kepada pemerintah itu wajib, selagi tidak disuruh dalam perkara maksiat. Apabila disuruh dalam perkara maksiat, maka tidak perlu dengar dan taat” (Riwayat al-Bukhari). Juga sikap pengotor itu menyakitkan hati orang lain tanpa sebab yang sah. Baginda Nabi s.a.w menyebut: “Takutlah dua perkara perkara yang menyebabkan dilaknat orang. Sahabat bertanya: apakah dua perkara yang menyebabkan dilaknat orang. Sabda baginda: Orang yang membuang najis di tengah jalan orang ramai atau tempat teduh mereka” (Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Albani).
Perbuatan membuang air di tengah jalan boleh menyebabkan pembuatnya dilaknat orang ramai, maka baginda melarangnya. Dalam masyarakat yang hidup dalam keadaan teratur, perbuatan membuang sampah dan kekotoran merata-rata juga membawa kesan yang sama. Maka termasuk dalam larangan agama. Malanglah, jika ini amaran Nabi s.a.w. dibaca tetapi ada orang Islam yang tidak tahu menggunakan tandas awam dengan baik sehingga menimbulkan kemarahan pengguna yang lain. Bahkan ada tandas masjid yang masih gagal untuk mematuhi ajaran Nabi s.a.w. Bagaimana mungkin tamadun Islam hendak ditonjolkan?!!
Juga sangat memalukan, jika tempat-tempat awam dijadikan kawasan larangan merokok, namun ada masjid yang membenarkan ruangannya dijadikan tempat merokok ‘kelab jawatan kuasa’ dan penyokong-penyokongnya. Bahkan disediakan pula kopi dan bekas abu untuk perokok. Apakah masjid lebih rendah nilainya dari tempat awam? Merokok itu diharamkan oleh mijoriti para ulama moden kerana merosakkan diri, membazir dan menyakiti orang lain. Ia juga mencemarkan alam. Bau busuk mulut penghisap dan asap rokok yang membawa kemudaratan kepada orang lain. Bagaimana mungkin masjid boleh membenarkan aktiviti yang sedemikian beraksi di dalamnya. Masjid wajib menjadi zon bebas rokok. Baginda s.a.w memberi arahan kepada mereka yang memakan bawang putih: “Sesiapa yang memakan bawang putih, jangan dia menghampiri masjid kami” (Riwayat al-Bukhari). Ini disebabkan baunya yang busuk dan mengganggu jamaah. Demikian juga rokok dan penghisap rokok. Baunya yang busuk dan kesan pada penghisapnya mengganggu jamaah. Mereka sepatutnya –selagi berbau- tidak menghadirkan diri ke masjid yang memerlukan persekitaran yang harmoni dan bersih.
Khazanah Islam begitu banyak mengajar kita menjadi umat yang berdisiplin dan bersih. Malangnya kita tidak mengkaji dan mematuhinya. Sedangkan semua arahan itu memberikan kebaikan kepada manusia sejagat. Namun apabila kita beragama secara sempit. Atau mungkin kita jahil tentang hakikat Islam ini, maka kita pun kagum dengan kesungguhan orang lain seperti pencinta-pencinta alam di Barat dan Timur memelihara kebajikan masyarakat manusia. Kita lupa bahawa khazanah Islam kita telah lama mendahului hal ini. Sepatutnya dengan bekalan khazanah itu, kita mendahului manusia lain dalam memelihara keamanan dan kebajikan kehidupan alam. Namun, hal yang berlaku sebaliknya. Kita bukan sahaja tidak mengepalainya, bahkan kita tidak turut berjuang. Lebih sedih kita memandang sepi usaha-usaha yang seperti itu dan tidak menganggap sebahagian dari tuntutan agama.
Harap Sudilah Follow
PENAJA UTAMA | |
---|---|
July 20, 2010
Home »
artikel
»
Fahaman Islam Kita Sempit, Alam Tercema
Fahaman Islam Kita Sempit, Alam Tercema
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment