Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.
Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.
Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.
Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.
Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka.
Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.
Itu lah Rama-rama yang digambarkan satu kebebasan bagi seorang wanita. Cantik sayapnya namun perlu diingatkan rama-rama akan bertukar rupa juga pada masa yang sudah dijanjikan. Ya! Manusia akan berubah mengikut peredaran masa.
Rama-rama adalah simbol kepada kecantikan dan keindahan. Manusia mana yang mahu hidup dalam derita dek peperangan dan kemusnahan. Terbangnya rama-rama yang sentiasa mewarnai alam mencerminkan satu kehidupan yang sentiasa mencabar.
Hidup sebagai seorang wanita walau mencabar perlu ada satu matlamat dan tujuan. Erti kata lain, hidup ini bukan satu permainan. Hidup satu perjuangan yang tiada penghujung. Selagi nyawa tidak bercerai dari jasad, selagi itu kita harus berusaha mengejar impian dalam meniti titian kehidupan untuk menjadi lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment